Legakan Resah Rakyat.. Kredit Komuniti Bukan Loan Shark?

Isu mengenai kredit komuniti bukan lagi satu isu asing dan sememangnya hangat dibincangkan masa kini. Difahamkan, insiatif kredit komuniti ini diperkenalkan bagi membantu melegakan keresahan dan kebimbangan rakyat yang hilang punca pendapatan ekoran perlanjutan tempoh PKP.

Malangnya, masih ramai yang tidak dapat membezakan pinjaman Kredit Komuniti atau Pinjaman Wang Berlesen dan ah long (loan shark) hingga akhirnya memerangkap mereka.

Justeru, untuk membezakan antara pinjaman Kredit Komuniti dan ah long, anda perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan syarikat Kredit Komuniti…

  • Kredit Komuniti/Pemberi Pinjam Wang Berlesen (PPW)

Merupakan syarikat atau agensi yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang mempunyai rekod CTOS atau telah disenaraihitam (blacklist). Maksudnya, mereka ini tidak dapat memohon pinjaman melalui institusi kewangan seperti bank atau koperasi.

Gambar Sekadar Hiasan

Tujuan utama syarikat pinjaman berlesen diberi kelulusan adalah untuk memberi pinjaman wang bagi mengelak mereka yang telah disenarai hitam mencari ah long atau loan shark.

Bukan itu sahaja, syarikat Kredit Komuniti ini juga perlu mematuhi Akta Pemberi Pinjam Wang yang diperkenalkan pada tahun 1951.

Akta Pemberi Pinjam Wang (1951)

Mengikut peraturan yang ditetapkan untuk pinjaman tak bercagar, mereka (syarikat pemberi pinjaman wang) hanya boleh mengenakan kadar faedah maksimum 18% setahun. Manakala bagi pinjaman bercagar kadar faedah yang boleh dikenakan ialah tidak melebihi 12% setahun.

Dan, bagaimana pula dengan lintah darat atau loan shark?

  • Ah long atau loan shark

Tidak dinafikan, ah long kini semakin berani mencari mangsa berbanding dahulu. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian tentang perbezaan pinjaman wang berlesen. Antaranya:

  1. Iklan dan pemasaran

Jika anda nampak risalah atau iklan yang ditampal di tiang-tiang, dinding dan sebagainya.. percayalah, kemungkinan besar syarikat pinjaman tersebut adalah ah long.

Ini kerana, iklan yang dipaparkan hanya tertera nombor telefon untuk dihubungi dan bukannya alamat pejabat. Sebaliknya, jika benar mereka adalah syarikat kredit komuniti, mereka tidak perlu berselindung disebalik kertas fotostat semata-mata.

Gambar Sekadar Hiasan

2. Sikap agresif semasa mohon pinjaman

Kebiasaannya syarikat pinjaman wang berlesen akan lebih profesional ketika berurusan. Sebaliknya pula dengan lintah darat ini, di mana mereka ini akan bersikap lebih agresif memaksa ‘mangsa’ membuat pinjaman.

3. Kadar faedah tinggi dan tidak masuk akal

Bercakap tentang kadar faedah pinjaman yang dikenakan, selalunya ia jauh lebih tinggi daripada bank, mahupun syarikat pinjaman berlesen lain hinggakan seringkali tidak masuk akal.

Perlu difahamkan, purata kadar faedah untuk pinjaman peribadi bank (dan pemberi pinjamanan wang berlesen) adalah antara 12% hingga 16% setahun dan yang paling tinggu pun 18%.

Justeru, jika pakej pinjaman yang anda ingin buat lebih tinggi dari kadar tersebut, lebih baik anda ‘angkat kaki’ dan cari alternatif lain.

4. Tidak ada hitam putih tentang perjanjian pinjaman

Kebanyakan proses pinjaman yang melibatkan ah long hanya menggunakan perjanjian mulut. Jarang sekali mereka menyediakan syarat-syarat pinjaman dalam bentuk bertulis. Ini kerana, mudah untuk mereka menukar syarat pinjaman.

Sebaliknya pula dengan syarikat Kredit Komuniti, mereka tampil profesional sedikan butiran atau borang yang perlu dilengkap oleh pemohon sebelum memeterai kontrak pinjaman.

Gambar Sekadar Hiasan

5. Denda lewat bayar dan tukar tempoh bayaran balik pinjaman

Anda perlu tahu bahawa syarikat Kredit Komuniti hanya dibenarkan mengenakan caj lewat bayar ansuran bulanan tidak melebihi daripada 8% setahun. Akan tetapi, ah long tidak akan mengikut syarat ini di mana mereka lebih suka kenakan denda bunga yang lebih tinggi dan membebankan peminjam.

Bahkan, mereka dengan suka hati menukar tempoh bayaran pinjaman penghutang. Sebagai contoh, jika tempoh dipendekkan, peminjam terpaksa membayar sejumlah wang yang sangat tinggi.

6. Menggunakan kekerasan

Cerita tentang salah laku dan sikap agresif ah long ketika menuntut bayaran balik pinjaman sememangnya menakutkan. Bukan hanya ugutan, bahkan mereka juga tidak teragak-agak untuk mencederakan si peminjam dan ahli keluarga lain.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights