“Hampir RM150,000 wang keluarga, kami terpaksa habiskan untuk bayar hutang kakak dan sampai hari ini masih tak selesai…”
Mohd, 25 tahun mengakui dia tidak sangka kakaknya terjebak dengan hutang lebih daripada 30 ceti haram. Difahamkan, kebanyakan proses pinjaman wang dilakukan secara dalam talian tanpa perlu datang ke premis.
Dedah pengadu yang berasal dari Sabah itu, perbuatan kakaknya terbongkar selepas mendapati perubahan sikap wanita berkenaan.
“Pada tahun 2021, kakak ada buat pinjaman Ah Long di Kota Kinabalu berjumlah RM10,000. Pinjaman ini tidak diketahui sesiapa namun selepas beberapa bulan, kami sekeluarga mendapati sikapnya makin ‘pelik’…hampir setiap bulan, duit belanja tak cukup sedangkan gajinya tinggi dan komitmennya hanyalah RM1,200 ke bawah.
Makin lama dia nampak sangat tertekan dan sering minta duit dengan keluarga bermula daripada ibu, ayah, suaminya dan adik-beradik lain.
PENGADU, 2022
Keadaan menjadi teruk apabila ceti haram terbabit mula membuat kacau di pejabatnya berikutan kegagalan beliau menjelaskan bayaran pinjaman serta kadar faedah yang dikenakan.
Tak tahan dengan ugutan dan malu, kakak ambil keputusan untuk berhenti kerja. Tak hanya itu, abang dan ibu juga kerap kali terima panggilan telefon dan WhatsApp daripada Ah Long, mendesak supaya melangsaikan hutang yang tertunggak.
Mereka juga telah tubuhkan satu grup menerusi WhatsApp yang di dalamnya terdiri daripada rakan-rakan, saudara mara dan orang kampung bagi mendedahkan hal ini. Lebih teruk lagi bila mana mereka turut menghantar kiriman parcel mengandungi notis berbaur ugutan serta screenshot IC serta video rakaman pinjaman kakak..
PENGADU
Dalam pada itu, kami (Semboyan Malaysia) turut dimaklumkan bahawa keluarga mangsa telah membuat pembayaran lebih RM200,000. Dan, sebanyak RM43,000 pula transaksi seterusnya dalam tempoh sehari.
Sehingga hari ini, abang ipar, ayah dan bapa mentuanya telah membuat bayar balik sebanyak; ayah (+RM50,000), manakala abang ipar (+RM100,000) dan bapa mentua kakak (+RM50,000).
Tak hanya itu, pada 6/5/2022 abang ipar telah melakukan transaksi sebanyak RM13,000 ke akaun Ah Long terbabit dan keesokannya (7/5/2022) adalah sebanyak RM30,000 lagi.
PENGADU
Mengulas lanjut berhubung kes ini, walaupun amaran demi amaran telah dikeluarkan oleh Semboyan Malaysia kepada orang ramai supaya tidak membuat pinjam wang daripada Ah Long, namun masih ramai yang menjadi mangsa.
Ingat! Meminjam wang daripada Ah Long bukan satu jalan keluar daripada di belenggu hutang kerana ia mungkin permulaan kepada detik hitam dalam hidup anda.