Hasrat nak beli kereta ‘lelong’ terkubur… -“Waktu tu, baru sedar yang saya dah ditipu!”

Kes penipuan membabitkan penjualan kereta secara dalam talian semakin meningkat naik sepanjang tempoh lima bulan tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Terbaharu, Semboyan Malaysia terima aduan daripada seorang lelaki mendakwa mengalami kerugian selepas tertipu dalam urusan pembelian kereta terpakai jenis Honda yang berharga 19,700.

Bukan sahaja berputih mata apabila hajat untuk memiliki kereta berkenaan tidak kesampaian, malah pengadu terpaksa menanggung kerugian lebih RM17,952 akibat diperdaya.

Mangsa berusia 36 tahun itu mendedahkan, segalanya bermula selepas beliau tertarik dengan satu iklan menjual kereta terpakai menerusi laman Facebook.

Saya ada hubungi seorang wanita menerusi WhatsApp dan telah ditawarkan sebuah kereta dengan harga RM19,700 tidak termasuk lain-lain kos seperti insurans, roadtax, PUSPAKOM dan towing.

PENGADU
Gambar Sekadar Hiasan

Mengenangkan harga yang ditawarkan agak berpatutan, mangsa akhirnya bersetuju sekali gus membuat transaksi wang berjumlah RM2,500 sebagai pembayaran deposit. Keesokan paginya, individu berkenaan sekali lagi meminta sejumlah wang bagi urusan cukai jalan, insurans, JPJ dan PUSPAKOM.

Tak hanya itu, saya kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang kononnya dari syarikat towing minta saya masukkan sedikit wang lagi bagi menguruskan penghantaran kereta dengan melakukan dua kali transaksi. Tanpa mengesyaki apa-apa saya hanya bersetuju.

PENGADU

Mangsa bagaimanapun mula merasa ‘panas hati’ apabila individu terbabit terus menerus mendesaknya untuk membuat transaksi segera atas alasan kereta tersebut ‘sangkut’ di Kastam dan memerlukan kira-kira RM3,300 bagi tujuan pelepasan duti import.

Waktu tu, barulah saya sedar yang saya telah ditipu! Kereta saya bukanlah kereta lelong yang berada di Malaysia seperti yang dinyatakan ‘penjual’ dalam iklannya… Tetapi kereta itu adalah dari Singapura yang cuba di bawa masuk Malaysia.

Jumlah keseluruhan kerugian saya adalah RM17,952.60

PENGADU

Kami dari pihak Semboyan Malaysia menasihati para pengguna supaya lebih bijak dalam mengambil langkah pencegahan sebelum membuat sebarang pembelian kenderaan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Jangan mudah percaya dengan jualan kereta terpakai! Anda juga dinasihatkan menyimpan sebarang rekod perbualan dan transaksi pembayaran wang sebagai bukti.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights