“Mereka datang rumah dan cuba takut-takutkan mak saya… siap ugut, mereka boleh bagi keluarga saya hidup dalam kesusahan dan ketakutan!” demikian luahan seorang mangsa ceti haram.
Berkongsi nasibnya dengan Semboyan Malaysia, mangsa berusia 46 tahun itu mengakui terjebak dengan pinjaman Ah Long ketika negara dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut pengadu, beliau ada membuat pinjaman wang tidak berlesen dengan beberapa syarikat sekitar penghujung 2020 dengan bayaran pada setiap minggu.
Jumlah yang dipinjamkan adalah lebih RM90,000 manakala, sebanyak RM100,895 telah saya jelaskan… Namun, duit pokok berjumlah RM72,000 masih tertunggak kerana saya tak mampu bayar.
Pengadu, 2021
Bagaimanapun, pengadu telah dihubungi oleh seorang ejen daripada sebuah lagi syarikat pinjaman wang selain turut ditawarkan untuk dibantu melangsaikan hutangnya. Dek kerana tertekan dan takut, mangsa akhirnya bersetuju untuk menandatangi satu perjanjian.
Ejen tersebut ada datang jumpa saya dan dia tawar untuk selesaikan hutang saya yang tertunggak. Atas sebab rasa ketakutan dan tertekan dengan pinjaman yang tertunggak, saya menandatangi satu perjanjian tapi saya perlu bayar mereka RM120,000.
Pengadu, 2021
Ejen terbabit turut mendakwa sudah melangsaikan kesemua pinjamannya, namun tiada sebarang bukti dikemukakan. Apa yang meyakinkan pengadu apabila sindikit ceti haram itu tidak lagi mengganggunya.
Bagaimanapun, masalah mulai timbul apabila beliau gagal melunaskan hutangnya kepada syarikat kredit yang kononnya ‘penyelamat’.
Sejak itu, mereka telah hantar ‘budak-budak suruhan’ ke rumah ibu saya. Tujuan mereka adalah untuk menakut-nakutkan dan ugut bahawa mereka boleh buat keluarga saya hidup dalam kesusahan.
Saya juga mengesyaki bahawa saya telah ditipu oleh sindiket ceti haram tersebut selain mereka adalah dari kumpulan yang sama.
Pengadu, 2021
Jelas pengadu, tujuannya membuat laporan kepada pihak Semboyan Malaysia adalah bagi melindungi keselamatan ibu dan keluarganya dari keganasan Ah Long.
Orang ramai dinasihatkan supaya elak dari meminjam wang dari sindiket ceti haram biarpun dalam apa juga keadaan. Ini kerana, hidup anda akan sengsara dan tidak tenteram jika sudah masuk jerat sindiket ini!