Mangsa Buntu, Ah Long Desak 3 Kali Ganda Bunga -“Dia Ugut Nak Viralkan Saya…”

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini, menyaksikan banyak kisah pilu tentang individu tersepit masalah kewangan… Sehingga memaksa segelintir mereka meminjam Ah Long demi kelangsungan hidup dan perniagaan.

Ah long, satu istilah popular bagi ‘ceti haram’… yang merujuk kepada orang perseorangan atau badan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi. Apa yang pasti, pinjaman ini akan disusuli dengan ugutan ataupun ancaman keganasan sekiranya si peminjam gagal melunaskan hutang!

Tidak ketinggalan, seorang wanita yang juga merupakan mangsa Ah Long tampil memohon bantuan Semboyan Malaysia. Difahamkan, segala bermula selepas pengadu membuat pinjaman wang berlesen dari sebuah syarikat dengan jumlah RM1,000.

Saya buat pinjaman RM1,000… yang terima di tangan cuma RM600 dan telah bersetuju untuk membuat bayaran balik pada bulan seterusnya sebanyak RM1,100..

Malangnya beberapa hari kemudian, telefon bimbit saya hilang…semua maklumat dan data berkenaan pinjaman itu juga hilang.

Pengadu, 2021
Gambar Sekadar Hiasan

Bimbang sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, pangadu sedaya upaya cuba mencari maklumat dengan menyemak semula penyata akaun. Namun sedikit bingung apabila tiada sebarang panggilan diterima daripada mana-mana ejen berkaitan pinjaman tersebut.

Bagaimanapun pada penghujung bulan lalu, ejen syarikat tersebut telah menghubungi dan meminta mangsa membuat bayaran segera sebanyak RM2,310. Terkejut dengan kadar faedah yang tinggi, pengadu cuba untuk berunding supaya diberikan sedikit masa lagi untuk melangsaikan hutang.

Ejen itu ada hubungi saya dan minta saya bayar hutang dengan segera…saya cuba berunding untuk bagi masa supaya saya boleh sediakan jumlah yang diminta tapi mereka tak mahu.

Dia ada minta saya bagi sahaja dulu berapa duit yang ada sekarang, tetapi dihalang suami sebab bimbang jika bayaran tetap meningkat. Saya juga terpaksa abaikan mesej dan panggilan telefon…

Pengadu, 2021

Memikirkan jika kadar faedah dinaikkan, mangsa sekali lagi berunding untuk membayar RM1,000 sebagai permulaan dengan harapan ‘bunga’ akan dihentikan. Malangnya, ejen tidak bersetuju dan mendesak untuk menaikkan kadar faedah tanpa had jika beliau gagal membuat pembayaran dalam waktu terdekat.

Saya juga telah hubungi majikan saya untuk mendapatkan bantuan tetapi majikan saya minta beri sedikit masa untuk berbincang dengan keluarganya dahulu…

Lebih tertekan lagi, apabila collector tersebut mengugut untuk viralkan saya pada ahli keluarga sekiranya bayaran tidak diterima..

Pengadu, 2021

Pengadu juga sudah menyesali kesilapan yang dicetusnya sendiri dalam menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan wang. Apa yang boleh disimpulkan, tindakan meminjam dengan Ah Long kononnya untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi akhirnya bukan sahaja tidak meringankan masalah kewangan yang dihadapi, malah meletakkan mereka dalam keadaan yang lebih parah.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights