Isu penyewa tidak membayar sewa rumah antara satu dilema yang sering dihadapi oleh kebanyakan tuan rumah.

Kadang-kadang hal ini boleh membawa kepada masalah besar, sehinggakan perlu melibatkan pihak berkuasa dan undang-undang. Termasuk individu-individu yang keras kepala untuk terus menetap di rumah tersebut walaupun sewa tidak dibayar.

Baru-baru ini, pihak Semboyan Malaysia menerima satu aduan daripada seorang pengadu yang mendakwa dirinya ditindas, diugut dan dihina oleh penyewa rumahnya. Menurut wanita berasal dari Kelantan ini, penyewa terbabit telah memungkiri perjanjian kontrak sewa rumah.

Difahamkan, pengadu mula berurusan dengan penyewa berkenaan pada 28 July 2021 lalu. Namun, wanita itu melambatkan proses kemasukan rumah dengan memberikan pelbagai alasan termasuklah menghadapi masalah kewangan.

Gambar Sekadar Hiasan

Atas budi bicara, pengadu akhirnya bersetuju untuk mengurangkan bayaran sewa kepada RM400 pada bulan September. Namun, penyewa terbabit enggan melakukan pembayaran pada bulan tersebut dan juga bulan seterusnya.

Dek kerana terbeban dengan tunggakkan sewa, pengadu bertindak mengeluarkan notis meminta wanita terbabit keluar dari rumah. Malangnya, penyewa mula bersikap agresif ‘menyerang’ dan mengugut pengadu berusia 30 tahun itu.

Saya telah berikan notis untuk selesaikan bayaran sewa rumah sehingga tarikh akhir 14hb September atau kosongkan rumah pada 15hb September. Disebabkan hal itu, beliau tidak berpuas hati dan telah datang ke rumah saya pada jam 10 malam.

Beliau telah mengamuk dan memaksa saya keluar dari rumah dan mengugut jika saya tidak keluar, beliau akan mencari saya pada bila-bila masa sahaja.  Kemudian, beliau membuat provokasi dengan menyatakan saya seorang scammer

Pengadu, 2021

Pengadu bagaimanapun mulai curiga dengan motif sebenar individu terbabit sepertinya mahu mengambil kesempatan untuk tinggal di rumah tersebut tanpa membayar sewa. Susulan itu, pengadu yang berasal dari Kelantan berkenaan bercadang untuk membawa kes tersebut ke muka pengadilan bagi mendapatkan semula hak pemilikan rumahnya.

 Saya juga ada rujuk dengan peguam tetapi kos guaman yang diperlukan agak tinggi iaitu RM8,000 untuk mendapatkan semula hak pemilikan rumah. Saya tidak mempunyai duit simpanan selain juga perlu terus membayar loan rumah walau penyewa tidak membayar sewa.

Pengadu, 2021
Gambar Sekadar Hiasan

Dalam pada itu, pengadu turut selidik latar belakang individu terbabit sebelum mendapati rupanya scammer ‘otai’ yang telah memperdayakan ramai mangsa termasuk ‘influencer‘.

Saya juga telah selidik penyewa tersebut dan ternyata beliau adalah scammer pernah ada kes hutang tak bayar, isu dengan seorang influencer dan sudah banyak penipuan suspek telah didedahkan di media sosial.

Saya yakin penyewa ini memang nak scam saya dan dia seolah-oleh tahu undang-undang di Malaysia tidak boleh menghalau sewenang-wenangnya keluar dari rumah sewa tanpa surat mahkamah. Dia juga ada mencabar saya untuk membawa isu ini ke mahkamah.

Pengadu, 2021

Untuk pengetahuan umum, undang-undang berkaitan penyewaan di Malaysia secara sebenarnya lebih kepada melindungi penyewa berbanding pemilik. Di mana tuan rumah tidak boleh menghalau penyewa tanpa adanya Waran Distres di bawah Seksyen 5(1) Akta Distres 1951 atau tiada perintah daripada mahkamah. Ini kerana, tindakan pemilik hartanah yang mengusir penyewa secara suka hati tanpa perintah mahkamah menjadi satu kesalahan secara terbuka selain boleh dicabar di mahkamah.

Namun dalam hal ini, pemilik rumah berhak menuntut penyewa untuk membayar tunggakkan sewa. Dan sekiranya penyewa enggan menjelaskan tunggakkan tersebut, tuan rumah boleh mendapatkan ganti rugi ‘Double Rent’ di bawah Seksyen 28(4)(a) Akta Undang-undang  Sivil 1956.

Justeru itu, pihak Semboyan Malaysia berharap agar rakyat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih penyewa yang bertanggungjawab.