Pandemik COVID-19 yang melanda negara menyaksikan banyak kisah individu-individu tersepit masalah kewangan meminjam daripada Ah Long disiarkan di media sosial.
Tidak ketinggalan, baru-baru ini pihak Semboyan Malaysia menerima satu aduan berhubung kes penipuan sindiket Ah Long. Dek kerana terbeban dengan tuntutan mahkamah, seorang wanita nekad mengambil jalan pintas dengan meminjam wang daripada ceti haram.
Mangsa berusia 27 tahun itu mendakwa telah membuat pinjaman sebanyak RM4,500 dan telah bersetuju dengan syarat pembayaran balik sebanyak RM600 selama 16 bulan. Bagaimanapun, masalah mulai timbul selepas beliau gagal membuat pembayaran penuh berikutan separuh daripada gajinya dipotong oleh majikan.
Justeru, pengadu mohon budi bicara sindiket terbabit untuk mengurangkan bayaran bulanan kepada RM400. Namun dipanjangkan tempoh pembayaran kepada 23 bulan.. Dan lebih mengejutkan lagi apabila jumlah pinjaman tersebut telah berganda kepada RM13,400 termasuk faedah yang dikenakan.
“Saya telah membayar RM600 selama 7 bulan (RM4,200) dan bermakna baki saya adalah RM5,400.. Bagaimanapun setelah pihak pinjaman membuat kiraan semula, pinjaman saya kini menjadi RM400 X 23 bulan..
Saya sangat terkejut.. jika saya teruskan bayaran RM400 selama 23 bulan ini, jumlah bayaran saya kepada pihak pinjaman ialah RM13,400. Hampir 2 kali ganda.“
PENGADU, 2021
Buntu memikirkan cara untuk melangsaikan hutang tersebut, pengadu justeru memohon bantuan Semboyan Malaysia untuk membuat rundingan semula mengenai jadual pembayaran hutang secara bulanan sekali gus berharap budi bicara Ah Long terbabit untuk tidak mengenakan lagi nilai faedah.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihati untuk tidak terlibat dengan mana-mana syarikat pinjaman wang berlesen atau pun tidak berlesen bagi mengelakkan diri daripada menerima nasib malang.
Ingat, duit segera daripada mereka bukanlah penamat bagi masalah anda! Bila dah diikat, bersedialah untuk diseksa jiwa dan raga..