Memang menyedihkan apabila krisis pandemik COVID-19 yang melanda telah mempengaruhi keadaan ekonomi di Malaysia, terutamanya mereka yang terpaksa melakukan apa sahaja untuk bertahan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Namun apakan daya apabila memiliki pendapatan yang tidak seberapa, ramai memutuskan untuk membuat pinjaman.
Baru-baru ini pula, pihak Semboyan Malaysia menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan pinjaman melalui ejen.
Difahamkan, pengadu mula berurusan dengan ejen pada 1 April 2021 dan hampir 3 bulan, pinjaman yang dibuat masih tidak diluluskan oleh pihak bank.
Tidak lama selepas itu, ejen tersebut memutuskan untuk menghubungi pengadu kerana ingin menawarkan pinjaman sebanyak RM2000, kononnya ia satu inisiatif syarikat untuk membantu pelanggan sementara menunggu permohonan pinjaman beliau di proses.
Meskipun merasa curiga, pengadu tetap akur dengan permintaan ejen. Namun apabila pengadu mengambil tindakan untuk menukar kata laluan segala maklumat peribadi beliau dan isteri, ejen terbabit mula berkelakuan kasar dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.
Selain memaki hamun, ejen itu juga berani mengugut pengadu dan lebih malang lagi, beliau turut menerima notis tuntutan dari penguam.
Jelas pengadu, pihak berkenaan mengeluarkan notis untuk menjelaskan hutang RM2000 yang diterima oleh beliau. Malah, beliau juga dikenakan bayaran penalti sebanyak RM35,000.
Walau bagaimanapun, pengadu tidak goyah dengan keadaan yang dihadapinya malah beliau mengambil inisiatif untuk membuat laporan polis di atas ketidakadilan oleh pihak ejen terbabit.
Oleh yang demikian, pengadu berharap pihak Semboyan Malaysia dapat menyelesaikan masalah ini serta membela nasib orang-orang yang tertindas akibat penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kami juga berharap agar ramai rakyat Malaysia lebih berhati-hati sebelum membuat pinjaman dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang iklan yang dipaparkan di sosial media.