Kebelakangan ini, kisah berkenaan peristiwa akhir zaman banyak dikongsikan dan disebut dalam al-Quran serta hadis.

Sabda Rasulullah SAW,” Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar.. diberi pula amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah”.

Cukup jelas intipati hadis di atas, mengkhabarkan kepada kita bahawa pada akhir zaman akan berlaku perkara-perkara berikut.

  • Pendusta terus dipercayai

Menurut para alim ulama, manusia di akhir zaman nanti mereka tidak lagi jujur dalam berbicara sehinggakan seorang pendusta dipercayai. Dapat kita saksikan sendiri pada hari ini pendusta yang kaya raya sanggup menaburkan duitnya demi mencari ‘pengaruh’ dan kepentingan peribadi.

Bahkan ramai antara kita yang membela si pendusta hanya kerana pangkat, status dan kehebatannya dalam memutar belit fakta! Menyedihkan bukan? Akan tetapi begitulah hakikat hari ini.

  • Tidak peduli soal halal, haram pada harta mereka

Baginda Rasulullah menyatakan bahawa manusia pada waktu itu mereka tidak mempedulikan lagi soal halal dan haram dalam urusan perniagaan.

Dan jika kita perhatikan pada zaman ini, ramai dalam kalangan kita yang mahu cepat kaya tetapi dengan melanggar hukum hakam. Bahkan mereka ini sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan di dunia.

  • Amanat diberi kepada pengkhianat

Realiti hari ini, terlalu banyak pengkhianat pada agama, bangsa dan negara. Berapa ramai yang menggunakan agama demi memenuhi kepentingan diri sendiri?

Mereka ini bukan memikul amanat yang diberi untuk bantu membela rakyat.. Tetapi sebaliknya digunakan untuk membolot kekayaan dan membiarkan rakyat terus meringkuk menanggung derita.

  • Orang-orang bodoh yang menguruskan urusan umum

Sekarang ini, betapa ramainya orang-orang ‘bodoh’ sibuk membahaskan tentang hal-hal yang bukan dalam bidang kepakaran mereka. Bahkan ada dalam kalangan mereka ini dilantik menjadi pemimpin atau ketua untuk menguruskan hal yang berkait dengan kepentingan umum.

Wallahua’lam.. semoga Allah memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah yang ada di akhir zaman.