Hidup di Malaysia yang berbilang kaum ini, haruslah saling hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memupuk perpaduan dan menjaga keamanan negara. Tidak kiralah bangsa dan agama apa sekalipun, kita tetap berada di bawah ‘satu bumbung’ dan seharusnya saling menjaga sensitiviti antara kaum.

Bagaimanapun tindakan provokasi, menghina serta memperlekehkan agama Islam sama ada melalui tulisan, percakapan atau dalam bentuk grafik kini dilihat semakin kerap dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tidak ketinggalan baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial mengenai sebuah video tular melibatkan beberapa remaja berbangsa Cina seolah-olah mempersenda azan dan ayat suci Al-Quran. Tindakan tersebut bagaimanapun jelas membangkitkan kemarahan ramai masyarakat khususnya dalam kalangan umat Islam.

Sedar akan kekhilafan yang telah dilakukan, kesemua mereka akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia sekaligus menjelaskan ia cumalah gurauan.

“Saya tiada niat perli umat Islam. Dalam video itu saya tidak boleh tahan kepedasan apabila kami mengadakan ‘challenge‘ (makan pedas) lalu saya letak kedua-dua tangan di telinga dan pada masa itu kawan saya suruh saya mengulanginya sambil membuat (rakaman) video.

“Dia melafazkan ayat yang memang tidak sepatutnya. Saya kecewa atas apa yang berlaku dalam video tersebut. Saya memohon maaf di atas kesilapan kami dann berjanji tidak mengulanginya lagi,” jelas remaja terbabit.

Bergurau dengan melibatkan nama Allah atau mempersendakan agama Islam, merupakan satu penghinaan serius dan tidak boleh dimaafkan. Isu seperti ini tidak seharusnya berlaku di Malaysia, apa lagi rakyatnya yang hidup berbilang bangsa serta latar belakang berbeza.

Namun apa yang menyedihkan, apabila tiada tindakan tegas yang diambil daripada pihak berkuasa sehingga wujud persepsi bahawa ‘apa sahaja berkaitan agama Islam pasti tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya‘.

Maka semakin melampau lah pembenci Islam ini akan bertindak, jika tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berautoriti.

Kesimpulannya, peningkatan kes provokasi, menghina dan mengaibkan ini perlu diatasi dengan segera agar tidak mengganggu gugat keharmonian hidup masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu, hukuman tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang bagi membendung masalah ini supaya tidak menjadi kudis yang boleh merebak.

Akhir kata buat individu terbabit, segeralah bertaubat dan semoga diberikan hidayah Allah SWT.