Muslihat Hadiah: Kisah Nakal Nu’aiman Dan Sisi ‘Santai’ Rasulullah

Pernahkah anda mendengar ungkapan ini, ‘biasakan diri membuat orang lain gembira. InsyaAllah Allah akan gembirakan kita dengan perkara yang tidak disangka’?

Lumrah manusia, ‘langit tak selalu cerah dan hidup tak selalu indah’. Suka, duka, pahit dan manis itu saling silih berganti dalam kehidupan kita. Begitu juga perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW yang tidak selalu diliputi dengan duka, kerana senda tawa turut menyelimuti indahnya perjalanan hidup Baginda.

Di antara para sahabat Baginda, pemuda bernama Nu’aiman terkenal sebagai sahabat yang suka bergurau sehingga Rasulullah sendiri bersabda:

Nu’aiman akan masuk syurga sambil tertawa kerana dia suka membuatku tertawa“.

Meskipun jahil, namun Nu’aiman juga seorang mujahid sejati Islam atau lebih dikenali sebagai Ashabul Badr kerana ikut terlibat dalam Perang Badar bersama Rasulullah dan para sahabat yang lain. An-Nu’aiman ibn Amr ibn Rafa’ah merupakan sahabat nabi yang miskin dan pemabuk. Bahkan kerana tabiat mabuknya itu, Nu’aiman pernah ditegur dan dimarahi oleh para sahabat.

Namun Nabi Muhammad tetap membela lelaki berkenaan dan berkata kepada para sahabat yang memarahinya, “jangan pernah sekali kalian semua melaknat Nu’aiman. Meskipun dia seperti ini tetapi dia selalu membuatku tersenyum dan dia masih mencintai Allah dan aku“.

Di sini penulis ingin kongsikan beberapa kisah lucu dan nakal Nu’aiman serta sikap ‘santai’ Rasulullah terhadapnya:

  • Kisah Madu: Muslihat Hadiah

Pada suatu hari, Nu’aiman bercadang memberi madu kepada Rasulullah SAW sebagai hadiah. Namun kerana dia tidak memiliki wang, maka akhirnya Nu’aiman menyuruh penjual madu itu untuk menghantarkan madunya kepada Rasulullah dan sempat berpesan supaya meminta bayaran kepada Baginda.

Saat bertemu Rasulullah, penjual madu tersebut mengatakan sebagaimana yang diminta Nu’aiman. Sebaik sahaja mendengar, Rasulullah kemudian memberikan sejumlah wang kepada lelaki itu dan mendapat ‘hadiah’ madu yang dikirim.

Setelah itu, Baginda memanggil Nu’aiman dan menanyakan mengapa dia melakukan hal itu.

Saya ingin berbuat baik kepada anda ya Rasulullah, tapi saya tidak punya apa-apa,” jawab Nu’aiman dan Rasulullah hanya tersenyum menggeleng kepala.

  • Kisah Unta

Ada seorang lelaki datang dari kampung dan ingin menghadap Rasululllah, kemudian masuk ke dalam masjid. Dia meninggalkan unta haiwan tunggangnya di halaman.

Melihat situasi itu, sebahagian sahabat berkata kepada Nu’aiman, “sembelih haiwan itu kemudian kita makan dagingnya bersama-sama. Kami teringin sangat nak makan daging. Nanti wang ganti ruginya biar Rasulullah yang bayar“.

Tanpa berfikir panjang, Nu’aiman menyetujui permintaan sahabat-sahabatnya dan menyembelih haiwan itu. Siapa sangka, ketika keluar dari masjid, lelaki berkenaan terus menjerit melihat haiwan tunggangnya mati. Rasulullah kemudian bertanyakan, “siapa yang melakukan hal itu?

Para sahabat menjawab, “Nu’aiman, wahai Rasul“. Kemudian, Rasulullah mencari Nu’aiman dan menjumpainya sedang bersembunyi di balik daun kurma di dalam parit selepas dimaklumkan oleh seorang sahabat. Sebaik menyuruhnya keluar dan melihat wajah Nu’aiman penuh dengan debu Baginda bertanya, “mengapa kamu melakukan hal ini?

Tanpa rasa bersalah Nu’aiman menjawab, “orang-orang yang menunjukan tempat aku bersembunyilah yang menyuruhku melakukan hal ini wahai Rasulullah“. Setelah mendengar jawapan itu, Rasulullah membuang debu yang ada di wajah Nu’aiman dengan senyuman, kemudian Baginda mengganti harga unta yang telah disembelih itu.

Begitulah sosok seorang insan yang paling berpengaruh, selain keistimewaan luar biasa yang Allah SWT kurniakan, Rasulullah SAW turut memiliki keperibadian yang tidak lokek dengan senyuman. Jadi, bersikap lapang dada, ceria dan bahagiakan orang lain kerana ia adalah salah satu cara meningkatkan iman dan takwa.

Seperti yang tulis dalam kitab Al ‘Athiyyatul Haniyyah, “barang siapa yang membahagiakan orang mukmin lain, Allah Ta’ala menciptakan 70,000 malaikat yang ditugaskan memintakan ampunan baginya sampai hari kiamat kerana telah membahagiakan orang lain“.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights