Sangkut Bayaran Bulanan: Bolehkah Tuan Rumah Halau Dalam Tempoh PKP?

Isu tentang tuan rumah atau pemilik hartanah menghalau keluar penyewa daripada premis kediaman bukan lagi satu isu yang asing. Lebih menyedihkan lagi, betapa ramai penyewa di luar ditindas dan diusir keluar dari rumah sewa mereka tanpa sebarang notis atau prosedur yang betul terutama semasa tempoh PKP.

Bahkan baru-baru ini, tular satu kes di mana seorang wanita dikatakan cuba untuk terjun dari tingkat 32 sebuah kondominium akibat tertekan diberhentikan kerja dan dihalau keluar dari rumah sewanya.

Timbul persoalan, bolehkah pemilik rumah atau hartanah menghalau penyewa keluar?

Ingat ya, undang-undang berkaitan penyewaan di Malaysia secara kasar sebenarnya lebih kepada melindungi penyewa berbanding pemilik. Merujuk Seksyen 7(2) Akta Relief Spesifik 1950, pemilik hartanah tidak mempunyai hak sewenang-wenangnya menghalau penyewa keluar dari premis sewaan seandainya tiada perintah daripada mahkamah.

Tindakan pemilik hartanah yang mengusir penyewa secara suka hati tanpa perintah mahkamah menjadi satu kesalahan dan boleh dicabar di mahkamah.

Gambar Sekadar Hiasan

Macam mana pula kalau tuan rumah tiba-tiba datang tukar kunci pintu dan pagar rumah sewa?

Pemilik hartanah tidak boleh mengunci premis sewaan walau apapun alasannya kerana ia boleh dianggap sebagai menceroboh. Namun begitu, pemilik berhak memutuskan bekalan air dan elektrik premis sewaan tersebut dengan syarat terdapat peruntukan yang jelas dalam perjanjian sewaan. Jika tidak ia akan mengundang masalah kepada pemilik itu sendiri kelak.

Justeru, pemilik hartanah perlu tampil lebih berhati-hati apabila ingin membuat sebarang tindakan terhadap penyewa, baik dalam tempoh PKP ataupun pada masa lain. Bukan itu sahaja, perjanjian penyewaan juga perlu didraf sebaik mungkin bagi memastikan kepentingan pemilik rumah turut terjaga.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights