Ramai menyedari akan manfaat membaca al-Quran dalam kehidupan harian dan ganjaran di akhirat kelak. Justeru itu, umat Islam digalakkan untuk membaca dan memperelokkan bacaan agar tergolong dalam kalangan mereka yang dimuliakan Allah SWT.

Mana tidaknya, dengan hanya membaca satu huruf al-Quran sahaja seseorang itu akan memperoleh 10 ganjaran pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala. Aku tidak bermaksud; Alif, Lam Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf” [Riwayat Tarmizi]

Namun perasan atau tidak, sejak akhir-akhir ini terlalu banyak al-Quran dengan tulisan rumi dijual di pasaran. Alasannya, ia membantu dan memudahkan mereka yang tidak lancar mengaji untuk membacanya dengan baik.

Jadi, sejauh mana pandangan Islam tentang isu ini? Bolehkah al-Quran tulisan rumi digunakan untuk mengaji? Dan apakah hukum membacanya?

Menjawab segala persoalan serta kemusykilan di atas, seorang pendakwah bebas Ustaz Adnin Roslan menegaskan bahawa hukum membaca al-Quran dalam tulisan rumi adalah haram! Ini kerana, al-Quran hanya boleh dibaca mengikut kaedah bahasa Arab bagi mengelakkan kesalahan dalam menyebut ‘makhraj’ huruf dan hukum tajwid kerana kesilapan itu boleh membawa kepada kesalahan makna.

Bagi yang tidak boleh membaca Jawi dan hanya mampu membaca dalam tulisan rumi atau penterjemahan, beliau menjelaskan, bacaan tersebut tidak sama kerana tafsirannya berbeza tetapi soal isu ganjaran adalah urusan Allah SWT. Wallahua’lam

Sementara itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Negeri Sembilan bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 berkenaan Hukum Penulisan Ayat-ayat al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin dengan sighah seperti berikut:

i. Setiap orang Islam wajib mempelajari al-Quran dalam Bahasa Arab Rasmi Uthmani

ii. Haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran denggan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran kecuali:

  • penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah standard.
  • Bertujuan menarik orang membaca al-Quran dan pembelajaran dalam jangka masa sementara. Teks/nas al-Quran hendaklah disertakan.

iii. Haram menerbit dan menjual tafsir dan terjemahan al-Quran tanpa diserta teks asal.

Gambar Sekadar Hiasan

Jangan pernah malu merangkak-rangkak baca al-Quran, sebaliknya usahalah untuk mempelajarinya kerana ia adalah fardhu ain bagi orang Islam. Malah Rasulullah SAW sendiri bersabda yang maksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” [Riwayat Bukhari]

Sumber : TikTok adninroslan