Ditipu 1 Perusahaan, Bapa Buntu Anak Pula Derita Kanser Darah

Hakikatnya, setiap manusia di atas muka bumi ini Tuhan jadikan berbeza-beza jalan hidupnya. Kadangkala, segelintir kelompok masyarakat terpaksa mengharapkan belas ihsan daripada orang lain demi menyara kehidupan keluarga. Tidak kurang juga sebaliknya.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah ungkapan yang terlintas tatkala mendengar rintihan seorang bapa ini. Menerusi satu aduan kepada pihak Semboyan Malaysia, saudara Samsul Anuar Jamalludin meluahkan segala yang yang terbuku di dalam hati tentang bebanan hidup yang ditanggungnya sekeluarga.

Bukan sahaja menjadi mangsa penipuan oleh sebuah perusahaan ketika baru sahaja ingin menjinakkan diri dalam dunia perniagaan, saudara Samsul diuji pula dengan masalah kesihatan yang dialami oleh anak bongsunya.

Jika dilihat dari luaran, tubuhnya nampak sihat malah bibirnya juga tak lekang mengukir senyuman. Namun, siapa sangka di sebalik keceriaan itu rupanya si kecil bernama Muhammad Aidil Rizki sedang menderita kanser darah.

Menurut si bapa, episod sedih yang menyelubungi keluarganya itu bermula pada Mei tahun lalu selepas Muhammad Aidil Rizki atau mesra disapa Rizki didiagnos menghidap ‘Acute myeloblastic leukemia‘.

Kini, si kecil berusia empat tahun itu sedang menerima pelbagai rawatan termasuk kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Turut difahamkan, adik Rizki terpaksa ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

Malah selama tempoh lapan bulan mendapatkan rawatan tersebut, adik Rizki tetap bergantung sepenuhnya kepada ubat. Namun, jika kanak-kanak berkenaan diserang demam, dia terpaksa ‘berkampung’ di hospital.

Disebabkan kekerapan rawatan ke hospital ditambah kos ubat-ubatan berterusan, saudara Samsul yang bekerja sebagai peniaga kecil mengakui tidak mampu untuk menampung penuh keperluan anaknya.

“Alhamdulillah, Rizki ada dapat bantuan subsidi kos rawatan daripada kerajaan tapi hanya separuh saja yang dibiayai, selebihnya kami perlu tambah lagi kos rawatan dan keperluan,” katanya.

Prihatin dengan nasib menimpa keluarga kecil yang menetap di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor tersebut, Semboyan Malaysia mewakili ‘Tabung Kasih’ menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan mereka.

Semoga beban yang ditanggung keluarga ini dapat diringankan dan sama-sama kita menitip doa supaya adik Rizki cepat sembuh. Amin Ya Rabbal A’lamin

Ikuti liputan penuh di bawah:

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights