Tak dinafikan, sejak akhir-akhir ini ramai yang semakin berani menyebarkan idea-idea liberal walaupun ia terang-terangan bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam. Bukan itu sahaja, mereka juga dilihat ‘galak’ menunggang agama demi kepentingan sendiri sehingga para pengikut akur mengikut telunjuk.

Baru-baru ini ini, pihak Semboyan Malaysia menerima aduan daripada seorang individu mengesyaki kakaknya telah terlibat dengan ajaran sesat. Menurut pengadu, ia hanya disedari selepas melihat perubahan sikap kakaknya yang agak drastik bermula Mac 2021 lalu selain sering menyangkal hal-hal berkaitan agama.

Gambar Sekadar Hiasan

Turut difahamkan, kakak pengadu merupakan antara pengikut yang taksub dengan ajaran serta fahaman dibawa oleh seorang ‘Ustazah’ selain dikatakan aktif mempromosikan produk yang kononnya berlandaskan sunnah Rasulullah.

Dahulunya, wanita berkenaan merupakan seorang yang patuh pada ajaran Islam serta menghormati orang tua. Namun segalanya berubah selepas mengenali individu terbabit.

Mengenangkan semula kisah hitam berkenaan, keluarga pengadu sangat sedih apabila si kakak kerap menyendiri dan paling mengejutkan sejak taksub dengan ajaran ‘Ustazah’ terbabit, dia juga dikatakan sudah tidak mandi untuk beberapa tempoh.

Gambar Sekadar Hiasan

Dedah pengadu lagi, kakaknya juga akan mengugut untuk bunuh diri apabila keluarga mula campur tangan hal berkaitan ajaran ‘Ustazah’ terbabit. Bukan sahaja mengamal pantang yang ‘mengarut’ sehingga memudaratkan kesihatannya, dia turut mengirimkan beberapa keping gambar mata, pusat dan tapak kaki kepada ‘Ustazah’ tersebut dengan alasan tujuan perubatan.

Tanda-tanda pelik yang dialami oleh si kakak membuatkan pengadu sekeluarga mula ikhtiar untuk melakukan perubatan cara Islam. Buntu melihat perubahan perangai kakaknya, pengadu memohon pertolongan daripada pihak Semboyan Malaysia untuk menyiasat ajaran serta fahaman yang dibawa ‘Ustazah’ terbabit kerana mengesyaki ia berunsur menyesatkan.

Kami daripada pihak Semboyan Malaysia bagaimanapun masih lagi menjalankan siasatan secara terperinci mengenai isu ini. Kami akan cuba mengumpulkan sebanyak mungkin bukti bagi melihat sejauh mana kesesatan ilmu yang diajar oleh ‘ustazah’ ini. InsyaAllah