Sepertinya jenayah scammer bukan lagi perkara yang pelik masa kini. Mereka akan cuba pelbagai cara untuk mendapatkan duit kita termasuklah penipuan halus sehingga melibatkan kerugian besar. Lebih ralat lagi, ia hanya disedari apabila selesai membuat transaksi pembayaran.

Tidak ketinggalan, baru-baru ini pihak Semboyan Malaysia menerima satu laporan berhubung isu penipuan menimpa seorang lelaki yang berasal dari Marang, Terengganu. Akibat terpedaya dengan iklan jualan skuter elektrik menerusi laman sosial Facebook, pengadu akhirnya ‘putih mata’ apabila terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000.

Difahamkan, segalanya bermula selepas pengadu berusia 59 tahun berkenaan tertarik dengan satu iklan penjualan kenderaan bermotor dengan tiga roda tersebut sebelum bercadang untuk membeli sebanyak 10 biji. Setelah berhubungann dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan bersetuju, mangsa telah membuat transaksi wang deposit berjumlah RM6,00 ke akaun individu terbabit.

Selang sejam kemudian, pengadu sekali lagi membuat transaksi wang ke sebuah akaun lain berjumlah RM2,900 dan sebanyak RM1,500 pula pada sebelah petang dengan keseluruhan jumlah RM5,000 dalam sehari.

Bagaimanapun, pengadu mulai merasa curiga apabila tiada sebarang respon diterima. Tambahnya, dia sudah cuba menghubungi individu yang bertanggungjawab terhadap jual beli berkenaan, namun tidak berjaya.

“Esoknya, saya cuba menelefon dan menghubungi menerusi WhatsApp tetapi tiada jawapan dan telah disekat oleh penjual tu,” jelas pengadu.

Sedar dirinya sudah menjadi mangsa penipuan jual beli atas talian, pengadu kemudian membuat laporan polis.

Oleh yang demikian, orang ramai terutamanya pengguna dinasihatkan suapaya tidak terlalu mudah percaya dengan apa-apa tawaran daripada peniaga secara atas talian. Berdasarkan laporan yang pihak Semboyan Malaysia terima, orang ramai didapati mudah terpengaruh dengan iklan tawaran harga rendah tanpa menilai risiko pembelian secara atas talian dan akhirnya diambil kesempatan sindiket atau individu yang mendalangi penipuan terbabit.

Justeru, jadilah pengguna yang bijak sebelum membuat sebarang pembelian.