Sebagai inisiatif bagi memerangi penularan virus COVID-19 yang semakin memburuk, kerajaan telah mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown‘ bermula 1 Jun (semalam) sehingga 14 Jun ini.

Sepanjang tempoh tersebut dilaksanakan, kesemua sektor perindustrian perlu mendapatkan kebenaran untuk beroperasi di bawah garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, baru hari pertama sekatan pergerakan penuh bermula semalam, sebuah kilang di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor telah diserbu dalam sebuah operasi pemantauan oleh sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya.

Dalam serbuan kira-kira jam 10:45 malam, satu kompaun berjumlah RM10,000 telah dikeluarkan ke atas penyelia kilang berkenaan kerana disyaki melanggar standard operating procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang melebihi masa ditetapkan. Manakala, seramai lapan pekerja warganegara tempatan turut dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 seorang di bawah Peraturan 17(1) Parutan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dalam isu ini, apa yang boleh diketengahkan adalah ketidakadilan dan penindasan majikan terhadap para pekerja.

Menyedihkan, betapa ramainya masyarakat di luar masih kurang peka akan hak-hak pekerja sehingga ditindas majikan demi keuntungan dan kepentingan syarikat semata-mata.

Sudah terang dan jelas peraturan-peraturan serta syarat yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, namun masih ada segelintir majikan memandang remeh. Bukan sahaja tidak mematuhi SOP, malah turut mendesak pekerja untuk kerja lebih masa.

Umum sedia maklum, sebarang operasi perniagaan di seluruh negara hanya dibenarkan dari jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja. Justeru, mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan kerja ‘overtime‘ dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah perintah PKP 3.0 diminta membuat aduan secara terus di laman sesawang Semboyan Malaysia. Kami sedia membantu untuk penyelesaian efektif masalah anda. InsyaAllah..

Sumber : Twitter