Umum tahu, Briged Al-Qassam merupakan sayap militer gerakan Hamas yang digeruni oleh tentera rejim zionis Israel. Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah tentang gelaran yang diberikan kepada jurucakap rasmi Al-Qassam.
Hanya dikenali sebagai individu yang amat digeruni dan sangat dikehendaki oleh pihak zionis, nama serta identiti jurucakap berkenaan kekal menjadi misteri. Bersembunyi bawah tanah selama berbelas tahun, tidak ada seorang pun mengenali beliau tetapi segala strategi serangan beliau yang susunkan. Bahkan Abu Ubaidah juga cumalah sekadar gelaran semata-mata.
Mungkin ramai tertanya-tanya, ada apa dengan gelaran Abu Ubaidah? Dari mana asal usul Abu Ubaidah ini? Dan apakah sumbangan beliau sebenar-benarnya kepada Islam?
Sebenarnya nama Abu Ubaidah diambil sempena Abu Ubaidah al-Jarrah dan nama sebenar Abu Ubaidah al-Jarrah ialah Amir ibn Abdullah ibn al-Jarrah. Beliau dilahirkan di Mekah dari sebuah keluarga Quraisy yang dihormati. Beliau merupakan antara sahabat terawal yang memeluk Islam iaitu selang sehari selepas Abu Bakar asy-Siddiq.
Abu Ubaidah dikenali sebagai seorang yang berwibawa, rendah diri dan sangat pemalu. Beliau juga seorang yang berani ketika dalam kesulitan dan sangat amanah dalam menyampaikan agama Allah.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari, beliau antara sahabat yang dicintai oleh Rasulullah SAW selain Abu Bakar dan Umar.
Ditanya kepada Aisyah radhiallahu’anha, “siapakah sahabat nabi yang paling dicintai baginda?” Lalu jawab Aisyah, “Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah“.
Menariknya lagi, beliau juga antara 10 sahabat yang dijamin syurga. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah SAW dan sewaktu dalam peperangan Badar. Pun begitu, Abu Ubaidah cuba mengelak daripada bertembung dengan ayah kandungnya yang berada dalam kumpulan Quraisy yang menentang keras dakwah Rasulullah SAW. Bagaimanapun, ayahnya telah bersumpah untuk membunuh beliau kerana telah menjadi pengikut Rasulullah SAW.
Si ayah terus memburu anaknya sehingga suatu ketika Abu Ubaidah al-Jarrah terpaksa berdepan dengan ayahnya sendiri. Dalam pertarungan itu, Abu Ubaidah terpaksa membunuh ayah kandungnya sendiri sehingga turunlah surah al-Mujadalah, ayat ke-22.
“Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarga sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Mereka itulah parajurit Allah, ketahuilah bahawa parajurit Allah pasti akan berjaya”.
Malahan semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah SAW terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Melihat situasi itu, Abu Ubaidah lantas mencabut anak panah tersebut dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah SAW kemudian memberinya gelaran ‘gagah dan jujur’.
Tidak lama selepas itu, berlaku wabbak penyakit Taun di Syam. Khalifah Umar al-Khattab kemudian mengirim surat memanggil Abu Abaidah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenterannya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Abu Ubaidah al-Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “dirikanlah solat, tunaikan zakat, puasalah di bulan Ramadhan, dermalah, tunaikan ibadah haji/umrah dan saling nasihat menasihati. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat“.
Subhanallah, betapa amanah, berani, gagah, tawadhuk dan cintanya beliau akan Rasulullah SAW.
Abu Ubaidah wafat pada tahun 18 hijrah dir Urdun wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi, ketika umur beliau 58 tahun.
“Satu Abu Ubaidah zionis kalahkan, akan muncul 10, 100 atau 1000 lagi Abu Ubaidah. Sesungguhnya Allah itu sebaik-baik perancangan dan zionis itu sentiasa berada dalam ketakutan.” Wallahu’alam.
Sumber: Muftiwp