“Terfikir Nak Bunuh Diri..” -Pinjam Dua Ah Long, Individu Terdesak Bunga RM1K Sehari

Baru-baru ini, pihak Semboyan Malaysia menerima aduan berhubung kes hutang serta penindasan daripada seorang peniaga kecil-kecilan. Pengadu mengakui kini hidup tertekan kerana dihantui panggilan telefon dan mesej berunsur ugutan daripada beberapa ah long.

Pada awalnya, pengadu telah membuat pinjaman wang kepada seorang ah long menerusi aplikasi WhatsApp dan bersetuju dengan syarat pembayaran balik setiap hari dan setiap minggu. Bagaimanapun, masalah mulai timbul selepas beliau gagal membuat pembayaran pada bulan Ramadan lalu berikutan tidak dapat berniaga selain tiada pendapatan tetap.

Gambar Sekadar Hiasan

Pinjam ah long sebab nak bayar hutang ah long, sekali ‘sangkut’ bunga RM1K sehari

Justeru, pengadu mengambil jalan pintas dengan membuat pinjaman wang daripada ah long lain bagi menutup hutang lama. Malangnya, beliau ‘tersangkut’ pula dengan hutang ah long baru selain diugut dikenakan bunga sebanyak RM1,000 sehari.

Pengadu meluahkan keresahan apabila diugut sindiket terbabit untuk membuat kacau di tapak perniagaan selain mengganggu ahli keluarganya. Malah pengadu juga pernah terfikir untuk membunuh diri berikutan tidak tahan menjadi buruan ah long, namun mengenangkan ‘musibah’ yang bakal ditanggung keluarganya kelak niat tersebut dibatalkan.

Gambar Sekadar Hiasan

Hutang berganda RM30K, minta bantuan pihak luar untuk runding tapi gagal…

Difahamkan, pengadu ada meminta bantuan daripada pihak luar untuk membuat pengiraan jumlah hutangnya. Namun, apa yang mengejutkan saat dimaklumkan bahawa jumlah pinjamannya telah berganda kepada kurang lebih RM30,000 termasuk faedah yang dikenakan. Pihak berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Buntu memikirkan cara untuk melangsai hutang tersebut, pengadu justeru memohon bantuan Semboyan Malaysia untuk membuat rundingan semula mengenai jadual pembayaran hutang secara bulanan sekali gus berharap budi bicara ah long terbabit untuk tidak mengenakan lagi nilai faedah.

Pengadu juga sudah menyesali kesilapan yang dicetusnya sendiri dalam menggunakan jalan pintas untuk dapatkan wang sehingga akhirnya memakan diri.

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights