Kawan makan kawan! Itulah realiti terpaksa ditelan oleh seorang wanita gara-gara ditipu rakan niaganya sendiri sehingga menanggung kerugian hampir RM30,000 akibat diperdaya syarikat pemberi pinjaman wang.

Pada 11 Januari 2021, pengadu bertanyakan kepada rakannya berhubung urusan pinjaman wang sebelum diperkenalkan dengan seorang wanita. Gara-gara dikaburi dengan jumlah pinjaman yang banyak iaitu RM200,000 pengadu akhirnya bersetuju dan mendatangani dokumen perjanjian.

Wanita berkenaan bagaimanapun memaklumkan bahawa pengadu perlu melakukan sejumlah transaksi sebagai cagaran pinjaman sebelum menerima wang tersebut. Tanpa mengesyaki apa-apa, pengadu mendakwa telah membuat transaksi pemindahan wang ke akaun wanita terbabit sebanyak RM30,000.

Pengadu juga sudah sedia maklum bahawa nilai pinjam RM200,000 tersebut akan diterimanya pada Februari 2021. Namun, mulai curiga apabila sehingga kini beliau tidak menerima wang dijanjikan selain wang cagaran yang telah diberikan juga gagal dikembalikan oleh pihak terbabit.

Ternyata, bukan dirinya sahaja yang menjadi mangsa bahkan sudah ramai terjebak dengan penipuan ini sehingga melibatkan jumlah yang besar. Malangnya kesemua mereka tidak berani untuk tampil membuat laporan berikutan diugut dengan saman.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pinjaman wang secara atas talian atau dihubungi sebaliknya terus berurusan dengan pihak bank. Selain itu, jangan mudah membuat transaksi walaupun dikatakan sebagai cagaran pinjaman wang.