Memang menyedihkan apabila masih ramai antara kita menjadi mangsa penipuan skim pelaburan.. Tidak kira tua atau muda, yang bekerja, mahupun yang berpelajaran tinggi semuanya berpotensi untuk menjadi mangsa.

Gambar Sekadar Hiasan

Baru-baru ini, pihak Semboyan Malaysia menerima aduan daripada seorang individu yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan pelaburan. Difahamkan, pengadu mula ‘terjebak’ dalam dunia pelaburan berkenaan sejak 2017 malah beliau telah mengeluarkan sejumlah wang sekitar RM90,000 dari simpanan dan pinjaman peribadi dari beberapa buah bank.

Pada awal pembabitan, pengadu tidak mengesyaki apa-apa kerana semua proses dan bayaran pulangan saham berjalan dengan lancar. Bagaimanapun, masalah ini mulai timbul pada bulan seterusnya apabila syarikat berkenaan memaklumkan kelewatan pembayaran atas sebab mengemas kini urusan pejabat.

Sebenarnya taktik ini telah banyak berlaku bagi mengaburi mata mangsa bagi meraih kepercayaan untuk melabur. Mereka terlebih dahulu akan membuatkan mangsa berasa selesa dan selamat untuk terus melabur bersama mereka, namun ianya hanyalah sekadar perangkap.

Jelas pengadu, pihak berkenaan kemudiaan meletakkan tarikh sepatutnya pembayaran yang akan dibuat pada 20 Februari 2020. Tetapi malangnya, sehingga kini tiada sebarang pembayaran dilakukan malah cubaan untuk menghubungi syarikat terbabit juga gagal termasuk page di Facebook sudah dipadam.

Mengikut perjanjian yang telah ditandatangani, tarikh pembayaran sepatutnya dijelaskan sebelum 10 haribulan pada setiap bulan. Namun atas budi bicara, pengadu bersetuju untuk menangguh pembayaran mengikut tarikh yang diberikan.

Bukan itu sahaja, usaha pengadu menjejaki premis berkenaan turut gagal apabila ia sudah tidak beroperasi lagi. Malah berdasarkan kenyataan daripada kedai berhanpiran premis tersebut, pemiliknya sudah tidak kelihatan sejak 2 minggu.

Justeru, pengadu memohon agar pemilik syarikat pelaburan terbabit menjelaskan status mereka dan mengotakan janji yang telah dilakukan seperti mana dalam perjanjian.

Oleh yang demikian, kami berharap orang ramai tampil lebih berhati-hati sebelum melibatkan diri dalam apa-apa skim pelaburan saham. Rakyat Malaysia juga harus peka dan memantapkan ilmu perancangan kewangan. Semoga sama-sama kita terselamat daripada menjadi mangsa skim penipuan pelaburan ini.

Janganlah kita terlalu mengejar sesuatu yang belum pasti, sehingga ‘tergadai’ masa depan sendiri..