Jangan Tempah Neraka, Henti Jadi Mangsa Ah Long!

Ceti haram atau Ah Long kini dilihat semakin licik malah ia bagai tiada kesudahan apabila masih ada lagi individu yang masuk perangkap ‘lintah darat’ ini.

Bukan sahaja mengenakan bayaran ‘bunga’ yang tinggi, ‘geng’ ini juga akan menggunakan kekerasan sekiranya si peminjam gagal melunaskan hutang. Selain ugutan, bunuh-membunuh sudah menjadi rutin biasa bagi mereka.

Biarpun sudah berulang kali pihak Semboyan Malaysia ketengahkan isu ini, namun masyarakat masih lagi berdegil selain tidak mengambil pengajaran atas mangsa-mangsa sebelum ini.

Niat asal mungkin untuk bantu selesaikan masalah, namun segalanya bertukar haru-biru selepas si peminjam ditekan untuk membayar kadar faedah yang tidak masuk dek akal. Justeru, kami sekali lagi tampil membongkarkan antara bahana yang bakal menanti mangsa.

Ah Long

1. Faedah yang tidak berkesudahan

Pernah dengar terma ‘sepuluh-tiga’? Inilah kadar faedah yang cukup terkenal dikenakan kepada si peminjam hingga akhirnya membuatkan mereka merasa terdesak.

Ianya merujuk kepada kadar faedah yang dikenakan ke atas peminjam. Seperti contoh jika kita meminjam RM10, ini bermakna kita akan dikenakan RM3 sebagai faedah. Nampak sedikit? Bayangkan anda pinjam RM1000, anda terpaksa membayar ‘bunga’ sebanyak 30%.

Baru ‘bunga’ je tau, Belum ‘pokok’, ‘akar’ dan sebagainya!

2. Dokuman peribadi dijadikan ‘deposit keselamatan’

MyKad, passport dan kad bank antara dokumen peribadi yang sering disimpan Ah Long untuk dijadikan ‘deposit keselamatan’ bagi memastikan pembayaran berterusan. Taktik ini digunakan bagi mengelakkan si peminjam melarikan diri.

Ingat, menggadai data peribadi anda untuk pinjaman wang sangat tidak berbaloi kerana boleh disalahgunakan tanpa sedar.

3. Kos dan terma tersembunyi

Awalnya, gigit lidah pun tak putus, tapi bila mangsa sudah masuk kedalam ‘jerat’, terimalah padahnya. Kebiasaannya, Ah Long tidak meletakkan terma dan syarat yang jelas sebelum mangsa menandatangani perjanjian pinjaman. Taktik ini membuatkan anda tidak tahu secara terperinci tentang kos tambahan dan caj yang mungkin dikenakan.

4. Ditekan untuk pinjam Ah Long lain untuk selesaikan hutang

Pada saat anda mengalami kesukaran untuk melangsai hutang, mereka selalunya akan memberi tekanan sekaligus cadangkan anda untuk mengambil pinjaman daripada Ah Long yang lain untuk membayar balik sepenuhnya hutang.

Jangan tertipu! kerana anda diumpan untuk terikat dengan hutang yang lebih besar dan lebih tinggi faedahnya.

5. Gangguan fizikal dan mental

Ugutan dan ancaman akan diterima si pinjaman jika gagal melangsaikan hutang. Lebih malang lagi, apabila ‘lintah darat’ ini tanpa rasa bersalah menggunakan kekerasan terhadap ahli keluarga anda.

Membuat pinjaman wang mahupun berhutang adalah tidak salah jika kita mendapatkanya di saluran yang betul. Diharapkan dengan perkongsian ini dapatlah anda serba serbi info mengenai akibat meminjam daripada ‘Ahlong’.

Ingat, jangan biarkan hidup anda dihantui oleh Ahlong!

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop
    Scroll to Top
    Verified by MonsterInsights