Kisah ini diceritakan sendiri oleh pengadu dan pada awalnya pengadu hanya ingin bertanya khabar
tentang sahabat lama beliau sendiri dan sambil ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan bekam.

Namun, didalam kerancakkan berbual dengan sahabat lamanya itu, tiba-tiba sahabatnya ini
mengajak dan menawarkan satu urusan jual beli emas kononnya bahawa terlibat dalam aktiviti emas
ini satu perkara yang menguntungkan.

Pada awalnya pengadu berasa was-was dan ingin melihat bukti yang kukuh tentang kewujudan syarikat
tersebut dan sahabat beliau bersetuju untuk kemukakan bukti bukti yang diminta bagi menyakinkan
pengadu.

Sahabatnya telah merancang dan berjaya untuk menemukan si pengadu ini dengan pemilik syarikat tersebut yang juga dipercayai seorang yang mempunyai pangkat Dato’ Seri.

Selepas berlaku perjumpaan tersebut di sebuah restoran, pengadu mengaku bahawa dirinya berasa
yakin selepas Dato’ Seri itu menunjukkan sebahagian besar dari bukti kewujudan syarikat miliknya
itu. Dato’ Seri itu membawa sebuah beg bimbit penuh berisi emas dan wang tunai yang bercekak-
cekak.

Dato’ Seri itu turut mengaku bahawa dirinya baru sahaja selesai bertemu dan berunding dengan
seorang artis terkemuka tanah air. Lebih menambat hati pengadu, peluang ini dibuka bermula
serendah RM 300 ringgit sahaja.

Pengadu bersetuju untuk melakukan pembayaran pertama sebanyak RM 300 dan mendapat 0.25g
emas sahaja. Sementara untuk menunggu dalam tempoh matang selama 3 bulan, dan sekali lagi
sahabatnya bertemu dengan pengadu.

Namun pada kali ini, sahabatnya mengajak untuk menjadi stokis emas. Dengan memberi tahu serba
serbi kelebihan menjadi stokis, sahabatnya turut menyakinkan bahawa menjadi stokis ini membawa
banyak kelebihan dan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Namun begitu, untuk menjadi stokis, pengadu perlu menyediakan minima sebanyak RM 6000 bagi
60g emas dalam masa 3 bulan tempoh matang.

Pengadu turut memberi tahu, sebelum dia menjadi stokis, dia dijemput dalam perasmian
kerjasama syarikat tersebut dengan sebuah bank di Malaysia dan pelbagai lagi agensi kerajaan lain di
Langkawi. Perkara ini lebih menambahkan keyakinan si pengadu ini untuk terus bersama melabur
dengan syarikat itu.

Dalam perasmian itu, Dato’ Seri itu turut berjanji bahawa untuk menanggung segalah masalah dan
kerugian jika dialami oleh pelabur pelabur syarikat miliknya. Selepas pulang dari perasmian itu,
pengadu dengan yakin untuk berubah menjadi stokis.

Namun, selepas sebulan, pengadu merungut dan memberi tahu bahawa sistem didalam syarikat itu
sering berubah-ubah.

Indah khabar dari rupa, selepas pengadu sudah melabur hampir RM 6600, pengadu hanya mendapat
10.75 gram emas sahaja, dan bakinya masih lagi belum diterima. Pengadu memberi tahu pihak
Semboyan agar Dato’ Seri itu memulangkan kembali baki wangnya selepas ditolak dengan nilai emas
yang telah beliau miliki.

Pengadu turut sempat berpesan kepada orang ramai agar tidak terjebak dan memeriksa dahulu latar
belakang syarikat sebelum terlibat dengan sebarang program pelaburan walaupun ia melibatkan
emas yang kelihatan seakan kukuh.